Thursday 6 February 2014

Kenali Siapa Anda

TAHNIAH!!!

Anda adalah seorang yang berfikir besar! Itu sudah semestinya, jika tidak sudah pasti anda tidak berada di sini demi mendapatkan sesuatu yang besar bukan? Kalau anda seorang yang berfikiran kecil, saya jamin anda langsung tidak terdetik walau sedikit pun untuk menjengah blog ini sebentar tadi. Yakinlah pada diri anda bahawa ini adalah permulaan baru yang sangat baik pada anda, setidak-tidaknya anda mahu berubah kepada yang lebih baik.

Mulai saat ini, anda boleh mengenali diri anda lebih mendalam lagi. Kemungkinan juga anda akan mendapati yang anda langsung tidak pernah mengetahui 'sesuatu yang hebat' pada diri sendiri. Adakah anda rasa diri anda itu bagus? Jawapannya, YA. Seperti yang saya katakan tadi, anda tidak akan berada di sini jika anda bukan seorang yang berfikir besar ataupun berjiwa besar. Saya akan kupaskan lebih lagi tentang ini selagi anda rajin membaca sehingga habis.

Pada hakikatnya, saya bukanlah seorang kaunselor, doktor yang mempunyai Ijazah, pensyarah, penjawat awam, bahkan bukan juga seorang penulis yang diiktiraf. Tetapi saya seorang ahli masyarakat biasa yang menganggap dirinya sebagai 'professor' di dalam 'makmal'nya sendiri. Saya yakin anda juga mungkin seperti saya, adakah anda dapat apa yang saya cuba sampaikan? Tidak? Oh tak apa, biar saya jelaskan. Teruskan saja membaca.

Mengapa saya menggelar diri saya sebagai seorang 'professor'? Sedangkan saya langsung tak ada pengiktirafan di tahap itu, malah tahap pelajaran saya juga tidak tinggi melangit. Sekadar setinggi lalang ditepi jalan atau padang, itu mungkin. Ingin saya kenalkan diri kepada anda, saya menjadi 'professor' kerana saya seorang yang suka mengkaji setiap benda di sekeliling saya, apa yang ada di pandangan saya, saya akan mula berfikir tentangnya dengan lebih jauh dan akan kaji serba sedikit. Tetapi hanya pada sesuatu yang saya suka atau yang saya rasakan menarik. Persekitaran saya adalah 'makmal', saya tidak perlu melabur banyak wang untuk membina bangunan atau menyewa pejabat untuk dijadikan makmal. Persekitaran saya sudah lebih daripada cukup bahkan tidak perlu mengeluarkan sesen pun wang daripada poket saya. Sangat jimat!

Untuk pengetahuan anda, segala yang saya tuliskan ini adalah apa yang terkandung di dalam minda saya. Saya bukan seseorang yang diiktiraf ataupun menulis semula buku-buku motivasi dan sebagainya. Jika ada persamaan dengan mana-mana buku atau hasil penulisan, ia mungkin hanya satu kebetulan. Di dalam dunia ini terdapat ramai orang yang berfikiran sama. Tergerak hati saya untuk menulis blog ini kerana saya pasti apa yang saya dapat bukanlah semuanya hak milik saya, ia adalah kurniaan Tuhan dan saya patut kongsikan pada semua orang. Saya memilih blog sebagai medium perantaraan kerana ia lebih mudah untuk dikongsikan, maka tidak perlulah saya membazir air liur untuk bercakap banyak kali pada orang ramai ataupun rakan terdekat saya. Dengan menulis blog, amat mudah untuk disebar dan dikongsikan.

Sudah lama sebenarnya saya berhajat untuk melakukan perkara ini iaitu menulis semula apa yang saya kaji dan saya fikirkan, namun baru sekarang saya bersedia dan dapat menyesuaikan masa untuk menulis semenjak saya berkecimpung dalam dunia penerbangan. Jadual saya boleh tahan padatnya, tambahan pula saya masih baru jadi agak kelam kabut.

Sebelum anda meneruskan bacaan, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa isi didalam blog ini adalah apa yang berada didalam minda atau fikiran saya dan saya bukanlah seorang yang bijaksana. Anda boleh memilih untuk terapkan didalam kehidupan anda ataupun tidak, setidaknya anda boleh belajar berfikir untuk menerima baik buruk sesuatu. Jika anda rasakan betul, anda boleh ambil dan kongsikan dengan ramai orang. Nescaya membawa manfaat ilmu ini.

Baiklah kita boleh teruskan dengan lebih mendalam sekarang. Namun anda perlu menjawab persoalan saya, adakah anda yakin bahawa semua penjara di negara ini dapat di tutup selama 40 tahun? Apa jawapan anda? Gunakan 2 minit untuk berfikir tentang jawapan tersebut sebelum meneruskan lagi bacaan.

Saya pasti antara jawapan anda adalah "Mustahil! Kalau macam tu sudah tentu ramai orang jahat!" atau "Negara ini mungkin tidak akan aman!" atau "Semakin banyaklah jenayah di merata tempat, menutup penjara adalah mustahil!". Adakah tekaan saya benar? Okay, pada saya, saya yakin penjara dapat di tutup untuk tempoh tersebut. Sekarang saya mahu anda tolong saya fikirkan, apa yang perlu kita buat untuk menjayakan perkara tersebut? Gunakan lagi 2 minit anda atau lebih untuk memikirkan jawapan.

Baiklah, jika anda tidak mempunyai idea untuk jawapan tersebut maka pada pendapat saya fikiran anda adalah ibarat penjara tersebut yang hanya ditutupi dinding batu bata dan konkrit, anda tidak boleh melihat dunia luar yang luas. Malah anda tidak dapat terokai semuanya sepanjang hidup. Namun jika anda berfikir sebaliknya, sebagai contoh "Melakukan kempen kesedaran secara berterusan dan mendekati masyarakat dengan lebih dekat" atau "Memerintah secara adil dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih rasional dan tepat", itu sudah cukup membuktikan bahawa diri anda bebas berada diluar 'penjara' serta mampu mencapai sesuatu yang besar malah lebih daripada apa yang dapat anda bayangkan! Kesimpulannya, anda perlu tahu dimana kedudukan anda sekarang sebelum melakukan sesuatu dan mengenal pasti punca kegagalan anda sebelum ini. Ini adalah pengalaman saya sendiri, saya juga pernah gagal dan saya juga pernah berfikiran cetek separas buku lali. Tapi hari ini saya boleh menulis sesuatu daripada kegagalan tersebut.

Untuk menjadi seorang yang berfikiran besar atau bercita-cita besar, anda perlu terlebih dahulu mengenal pasti diri sendiri. Dimanakah kedudukan anda dan sejauh mana kebolehan anda untuk berfikir serta bagaimana cara anda mengawal pemikiran. Sebenarnya anda tidak perlukan kebijaksanaan atau ilmu yang tinggi pun demi mencapai impian yang besar melangit. Saya ada seorang kawan yang berumur sekitar awal 30an, berdasarkan maklumat yang saya tahu beliau tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Yang saya tahu beliau menamatkan zaman persekolahannya ketika berumur 15 tahun. Apa yang dapat anda jangkakan tentang seorang remaja berumur 15 tahun yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi? Ramai orang berpendapat bahawa remaja seperti itu mungkin tidak akan berpeluang menikmati kehidupan yang sempurna seperti orang lain yang berpelajaran atau masa depan yang gelap kerana beliau mensia-siakan persekolahannya.

Namun apakah yang terjadi? Beliau telah membuktikan bahawa tanggapan itu salah! Selang beberapa tahun kemudian ketika umur beliau berada di awal 20an, beliau telah membuka bengkel besinya sendiri. Ini bermakna lebih kurang 6 - 7 tahun beliau telah menghabiskan masa menimba pengalaman untuk mendapatkan pendapatan kasar sekitar RM15k-RM20k hanya pada awal 20an. Jadi bagaimana dengan rakan-rakannya yang lain? Kan mereka mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan ramai pemegang Diploma? Rata-rata hanya makan gaji buta setakat RM1k-2k sebulan, itupun mereka masih kata "Cukuplah....". Anda harus ingat, golongan seperti ini adalah golongan kelas kedua. Tidakkah mereka mempunyai impian untuk ada rumah besar, kereta besar, dan aset yang besar? Jika anda hidup sejak berpuluh tahun yang lalu semata-mata hanya untuk mendapatkan pendapatan celah gigi, itu terserah.

Lain pula pada kawan saya tadi, meskipun mempunyai pendidikan yang amat kurang dari yang 'biasa' (habis sekolah menengah), beliau mampu menjadi golongan kelas pertama dimana beliau adalah pemikir luar kotak! Sehingga kini pendapatan kasar beliau kekal puluhan ribu, percaya atau tidak sehingga hari beliau sudah mempunyai 3 buah bengkel dan beberapa buah kereta pada umur 30an. Manakala rakan-rakan sebayanya masih lagi berpendapatan tidak lebih RM5k hanya kerana sikapnya yang selalu berada pada kelas kedua. Anda boleh memilih sama ada ingin menjadi seorang yang 'sentiasa cukup' atau 'aku ada impian, aku perlu buat sesuatu'. Apa yang dapat anda berikan pada anak-anak dan isteri dengan pendapatan seperti itu? Berapa pula jumlah hutang yang perlu dibayar? Berapa yang anda mampu simpan setiap bulan? Menghalang kehendak sendiri? Ambillah masa anda untuk berfikir.

Pada saya, bukanlah pendidikan itu tidak penting. Pendidikan itu hanya satu 'kelebihan' yang mempengaruhi pendapatan anda. Anda boleh bandingkan gaji bulanan seorang engineer yang mempunyai Diploma dan seorang lagi engineer yang mempunyai PhD, dan level mereka adalah sama. Namun begitu, disebabkan kelebihan engineer yang mempunyai PhD atau tahap pendidikan yang lebih tinggi, maka gaji bulanan beliau mungkin 2 - 3 kali ganda lebih daripada si pemegang Diploma. Sebenarnya bergantung juga dengan bidang yang anda ingin ceburi. Itu terletak pada diri anda, jalan mana yang anda perlu lalui. Tak pandai tak apa, anda cuma perlu menjadi cerdik. Ini akan saya ceritakan lagi di dalam post yang seterusnya. Selamat membaca!